Layari Laman Utama Noraini Osman

Wednesday, December 2, 2009

Majlis Penyampaian Hadiah Cerpen Sedco-Bahasa

Assalamualaikum semua,

Hari ini 2 Disember 2009, telah mencatat sejarah dalam catatan peribadi saya sebagai penulis yang sudah lama tidak menulis, sama ada novel, cerpen mahupun sajak. Semalam Abang Jasni Matlani menelefon dan memaklumkan mengenai jemputan ke majlis penyampaian hadiah Cerpen Sedco-Bahasa negeri Sabah. Abang Jasni memberitahu kekesalannya kerana saya tidak menghantar sebuah cerpen pun pada pertengahan tahun 2009 kalau tidak silap saya! Saya minta maaf. Memang sudah lama saya tidak menulis. Hari ini baru saya melakarkan sesuatu di dalam blog ini itupun setelah terbaca blog seorang kawan bernama Sdr Abd.Naddin Shaiddin. Saya terpegun dengan keindahan susunan kata-kata di dalam post2 yang telah dibuatnya. Oh, berkenaan dengan jemputan abang Jasni itu, beliau sudah mengesahkan kehadiran saya ke majlis tersebut walaupun saya belum setuju untuk hadir lagi ke majlis itu. Saya belum memaklumkan kepada suami saya. Tetapi, saya berusaha hendak hadir juga ke majlis itu walaupun agak sukar. Majlis itu diadakan di Bangunan Sedco, Wawasan Plaza KK tingkat 3 pada jam 10.00 pagi.

Ya, tadi jam 10.40 pagi baru saya teringat akan majlis itu. Saya pun menelefon Sdr MabulMaddin. Dia memberitahu yang majlis itu belum bermula. YB yang akan merasmikan belum tiba lagi. Maka, saya pun meminta suami saya yang sedang bekerja menghantar saya ke tempat itu. Alhamdulillah, sampai juga saya ke sana dan ia benar-benar mencatat sejarah buat saya setelah lama tidak bertemu dengan rakan-rakan penulis selama hampir setahun ini.

Ketika saya tiba, saya ternampak kak Onie Latifah Osman(kakak saya), kemudian Sdr Abd naddin, En. Naddin, En Japar Ongki, Kak Nelawati, kak Asmiah, En. Cliff, Kak Kasima dan ramai lagi kenalan dari DBP cawangan Sabah. Oh, rupanya majlis sudah hampir usai. Saya hanya ke sana untuk makan tengahari sahaja. Malu pula saya. Lagipun lama tidak muncul di kalangan rakan-rakan penulis menyebabkan saya berasa segan dan bersalah pula. Mungkin lama saya tidak menulis dan menghantar karya saya ke mana-mana.

Selepas makan, baru saya berjumpa dengan Sdr MabulMaddin. Semasa dan selepas makan itu sempat saya berbual-bual dengan Sdr Naddin Shaiddin, Kak Robiah, kak Sarah dan Ruhaini Mad Derin. Ruhaini khabarnya sudah menerbitkan novel sendiri di samping menghantar karya ke PTS. (Tahniah.

Senarai nama-nama pemenang untuk cerpen anjuran Sedco-bahasa ini pula menggabungkan penulis baru dan yang sedia ada. Syukurlah kalau ramai lagi penulis baru yang berbakat dan berwibawa muncul di negeri di Bawah Bayu ini. Mereka adalah penulis pelapis yang akan menyambung lagi semangat dan usaha penulis2 mapan dan sedia ada. Teruslah menulis yang hebat2, berkualiti dan laris di pasaran, harapan saya. Berikut adalah senarai para pemenang menulis cerpen, iaitu;

Pemenang Pertama: Kulintangan - Dayangku Mastura Panggiran Ismail
Pemenang Kedua : Ayah - Anggela Engkuan
Pemenang Ketiga : Visi Sophia - Dayangku Mastura Panggiran Ismail

Pemenang Saguhati : Rahsia Hati-Welnee Joykin, Sogit-Katrina Tati, sebatang pen
bersalut emas- Faridah Abd. hamid
Tahniah kepada semua pemenang sekali lagi. Tahniah juga diucapkan kepada penyelenggara buku Visi Sophia yang telah bertungkus lumus menyiapkan penerbitan buku tersebut. Mereka ialah Abg Jasni Matlani, Ramlie A.R, Ailin Nor, Noordin Zainal Abidin dan Ruhaini Matdarin. Buku itu menghimpunkan semua karya yang mencapai tahap kualiti untuk diterbitkan, kata penyelenggara. Buku itu dijual pada harga RM20.00. Sesiapa yang berminat dengan buku Visi Sophia itu bolehlah menghubungi abang Jasni Matlani.

Sekian dulu untuk kali ini. Kita jumpa di lain catatan pula.

2 comments:

  1. terkejut juga nama kita termasuk dalam blog ini. relaks kau geng. aku ba ini...

    ReplyDelete
  2. Salam Ziarah...
    Tumpang nak ucap tahniah kepada semua pemenang...

    ReplyDelete